PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Menteri Kewangan,Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana menolak kemungkinan kesan daripada kebankrapan Genting Hong Kong (GHK) Limited.
Jelasnya, Zafrul menyatakan bahawa pinjaman RM2.5 bilion tanpa cagaran GHK itu adalah norma dan praktik biasa dalam sektor perbankan, dan bank-bank tidak akan dihadapkan dengan kerugian sebagai tersasar daripada isu sebenar.
ini kerana kerajaan jelas Anwar mempunyai kepentingan dalam bank-bank yang memberikan pinjaman tidak bercagar kepada GHK.
" Lagak santai dan bersahaja beliau (Zafrul) dalam memberi pencerahan tentang isu ini amat mengecewakan tatkala kita sedia maklum bahawa badan-badan atau tabung-tabung kewangan utama negara mempunyai pertalian pelaburan yang cukup besar di dalam bank-bank tempatan di negara ini.
“Apabila bank-bank mengalami kerugian, kepentingan rakyat turut terkesan. Dalam isu pinjaman tanpa cagaran kepada GHK, kerugian yang ditanggung Maybank, CIMB dan RHB akan turut ‘ditanggung’ oleh rakyat Malaysia," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan terbaik Asia era 90-an.
Anwar juga merujuk kepada kemungkinan penglibatan Tengku Zafrul dalam pinjaman GHK ketika terlibat dalam perbankan.
"Zafrul adalah kepala Perbankan Pelaburan semasa di Maybank apabila urusan pinjaman kepada GHK dibuat.
"Dia kemudiannya berkhidmat di dalam badan eksekutif di CIMB semasa pinjaman kepada GHK diservis. Dia telah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan selama hampir dua tahun. Dia mempunyai kepakaran yang luas berhubung perjanjian itu, dan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pindaan yang mampu memastikan manfaat kepada pengguna-pengguna bank, tapi itu tidak berlaku.
"Ringkasnya, hanya ada seorang yang mampu merundingkan perjanjian yang lebih baik kepada GHK bagi pihak rakyat Malaysia iaitu Menteri Kewangan sekarang. Ternyata beliau telah gagal," kata Presiden KEADILAN itu lagi.
Anwar mengulangi bahawa Malaysia telah mengalami banyak skandal kewangan, seperti urusan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
Skandal BMF berlaku pada tahun 1983 dan juga melibatkan pinjaman besar kepada syarikat yang berpangkalan di Hong Kong. Kerajaan akhirnya terpaksa menyelamatkan Bank Bumiputra Malaysia Bhd sehingga berbilion-bilion.
Sebagai rekod, Zafrul sebelum ini berkata walaupun GHK bankrap, bank dan sektor perbankan Malaysia mampu menghadapi cabaran.
Sementara itu dalam kenyataanya juga Anwar turut menyifatkan Zafrul gagal menunjukkan integriti seorang Menteri Kewangan yang mementingkan nasib rakyat.
Rakyat tanggung kesan bila bank alami kerugian |
"Tidak kurang juga sebilangan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kerana dampak hentakan wabak Covid-19 ke atas ekonomi kita.
"Masalah bankrupsi yang kini dihadapi oleh segelintir yang lain ternyata satu pukulan maut," tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu..