ADUN Bilut Lee Chin Chen dari DAP dicabar untuk menamakan seorang pemimpin yang mampu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) S Thiban mengemukakan cabaran itu kepada Chin Chen susulan tindakannya yang meletakkan kegagalan gabungan itu merampas kembali pentadbiran Negeri Melaka kepada Presiden KEADILAN itu.
"Apa sebenarnya motif Lee menuding jari serta mendesak Anwar berundur? Apakah Lee akan turut desak Setiausaha DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk turut berundur dari pucuk kepimpinan HARAPAN?
"Kalah satu PRN terus ugut keluar HARAPAN ini seolah-olah memang wujud perancangan untuk menubuhkan satu pakatan baru tanpa PKR.
"Jika itu yang dimahukan oleh pimpinan DAP maka mereka boleh keluarkan KEADILAN daripada HARAPAN," katanya.
ChiN Chen dalam kenyataanya sebelum ini turut mendesak DAP supaya mempertimbangkan untuk keluar dari gabungan itu.
PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi dengan HARAPAN yang sebelumnya dilihat berpotensi mengambil semula pentadbiran negeri berakhir dengan keputusan kalah teruk.
Walaupun terdapat percubaan menyalahkan Anwar berhubung kegagalan itu, beberapa pemimpin antaranya veteran DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin Amanah, Mohamed Hanipa Maidin tidak bersetuju jika beban atas kekekalah itu diletakkan kepada Anwar.
Senada dengan pandangan kedua orang pemimpin senior itu, Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, tidak wajar kekalahan itu ditanggung Anwar seorang sedangkan setiap keputusan HARAPAN dibuat secara kolektif serta mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti.
Menyifatkan kenyataan Chin Chen itu sebagai menjengkelkan dan tidak menggambarkan semangat perpaduan, Farhash mahu kenyataan itu diambil maklum oleh DAP kerana ia dilihat cuba memecah belahkan semangat perpaduan dan keharmonian gabungan itu.
Jangan buat kenyataan melampau |
“Semoga saf kepimpinan Majlis Presiden HARAPANterus memelihara disiplin organisasi yang lebih matang dan istiqamah dalam perjuangan serta perlu diingatkan keputusan organisasi adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam kenyataan.
0 Comments