Kerana terlalu percayakan Mahathir berbanding Anwar

 



SEORANG pemimpin kanan DAP menggesa Pakatan Harapan (HARAPAN) segera membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan.

P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang melalui satu berkata, perjanjian itu tidak menguntungkan gabungan itu selain hanya memberikan persepsi baik kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Diibaratkan sebagai beban yang dipikul oleh HARAPAN, Mou itu jika dibiarkan lebih lama dibimbangi akan mengundang lebih banyak masalah.

“Memandangkan MoU dengan Putrajaya tidak memberi apa-apa faedah kepada HARAPAN, apa gunanya meneruskan perjanjian ini untuk kestabilan dan pembaharuan politik?” katanya.

Mengulas lanjut tentang situasi politik yang kucar- kacir ketika ini, Ramasamy membayangkan gabungan itu telah tersilap langkah kerana tidak mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad meletak jawatan bagi memberi jalan agar kerajaan ditadbir oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gabungan itu yang dulu pernah dibanggakan kerana berjaya menawan kerajaan kini tidak mempunyai apa-apa selepas meletakkan kepercayaan pada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," jelasnya.

"Keadaan pasti berbeza jika HARAPAN memberikan tekanan kepada Mahathir untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan memihak kepada Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim.

“Kerana percayakan Mahathir, HARAPAN terpaksa membayar harga yang tinggi.” tambah Ramasamy.

Beliau mengulas keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka minggu lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala gabungan itu hanya berjaya menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi.

Optimis dengan apa yang berlaku, Ramasamy menegaskan bahawa walaupun HARAPAN kalah di Melaka tetapi ia masih teguh di peringkat pusat.

Segera mulakan usaha hadapi PRU 15
“Justeru, daripada bimbang dengan apa yang berlaku, persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang (PRU15).

“Saya tidak pasti sama ada HARAPAN boleh mengulangi prestasi sama yang mengagumkan tetapi ia tidak mempunyai pilihan kecuali mula berusaha dari sekarang,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments