Speaker digesa jaga kedaulatan Parlimen susulan siasatan terhadap Azis Jamman

 

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun digesa supaya menghentikan ugutan terhadap Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), yang kini disiasat polis berhubung ucapannya di Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berkata Azis sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan di Parlimen jika ucapannya dianggap bermasalah, bukannya dikenakan tindakan polis.

Tindakan pihak polis menyiasat Ahli Parlimen Sepanggar itu jelasnya telah mencipta duluan berbahaya di Dewan Rakyat.

"Apa yang saya lihat, pengambilan tindakan itu seolah-olah ugutan kepada (Ahli Parlimen) Sepanggar, yang menghalang kebebasan Ahli Parlimen sedangkan Parlimen ada cara mengambil tindakannya sendiri.

"Kita tidak guna penguat kuasa luar Parlimen dan apa yang dikatakan Sepanggar itu tidak ada yang menyentuh isu sensitif.

"Saya meminta Speaker campur tangan menyatakan ini ruang Parlimen dan tidak perlu pembabitan orang luar," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Azis semalam berkata dia telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis berhubung ucapannya di parlimen mengenai Belanjawan 2022, di mana dia telah memberi amaran mengenai gesaan yang semakin meningkat supaya Sabah keluar dari Malaysia kerana peruntukan belanjawan yang “tidak adil”.

Ahli parlimen mempunyai kekebalan undang-undang untuk bersuara secara bebas di dalam Dewan Rakyat. Bagaimanapun, ini tidak terpakai kepada kes yang melibatkan Akta Hasutan.

Mohd Azis dipetik laporan media menjelaskan, apa yang beliau bangkitkan dalam perbahasan ialah menyampaikan perkara dibimbangi rakyat Sabah seperti ditulis dalam media sosial mengenai desakan Sabah perlu meninggalkan Malaysia bagi menonjolkan kepentingan terma Perjanjian Malaysia 1963 perlu dilaksanakan.

"Saya hanya menyampaikan kebimbangan daripada desakan orang ramai dalam media sosial.

“Saya memberi ucapan selepas Jeffrey Kitingan (Perikatan Nasional-Keningau) dan dia berkata perkara yang sama: jangan tunggu sehingga ‘angsa emas’ pergi.

“Mengapa saya dipanggil (oleh polis) tetapi bukan Keningau. Ini soalan saya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mempersoal siasatan itu.
 
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Perkara 36 (10) Peraturan Mesyuarat mengenai ucapan Ahli Parlimen, termasuk yang tidak dibenarkan menyentuh perkara termaktub dalam Akta Hasutan.

"Saya menyebut ini kerana semalam, Ahli Parlimen Sepanggar disiasat polis berkaitan ucapan dalam Parlimen, sedangkan ucapan itu tidak dibantah dan Yang Dipertua sendiri tidak membantah. Mengapa hak dan keistimewaan Ahli Parlimen berucap sekarang diremehkan dan dihina dengan satu siasatan polis?

"Kami Ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan polis ini yang seolah-olah menggertak dan mengambil tindakan ala politik.

"Ini jelas mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang, dan Speaker perlu membuat peraturan supaya polis kena rujuk Yang Dipertua sebelum membuat siasatan," katanya ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan telah diambil terhadap ahli parlimen kerajaan yang mencadangkan menutup sekolah vernakular.

Pembangkang mahu Speaker buat ketetapan
“Ini menunjukkan sikap double standard dan ugutan terhadap pembangkang, tidak kira HARAPAN atau Warisan.

"Kami berharap Speaker akan membuat ketetapan... Speaker harus menjaga kedaulatan Parlimen," tegasnya.
 
Sebagai maklum balas, Azhar berkata dia akan meneliti ucapan Azis dan berhubung dengan pihak berkaitan bagi mempertahankan hak ahli parlimen untuk bersuara secara bebas di Parlimen.

Post a Comment

0 Comments