Sikit-sikit salah Anwar, macam budak sekolah!


SEORANG bekas Ahli Parlimen berang dengan sikap sebilangan pemimpin dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang gemar menuding jari menyalahkan orang lain susulan kelemahan gabungan itu.

Manivanan Gowin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kapar, merujuk tindakan seorang ADUN dari DAP yang menyalahkan Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekalahan HARAPAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sambil mempersoalkan niat individu itu, Manivanan yang merupakan Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN mahu sikap hipokrit itu dihentikan.

Tambahnya lagi, setiap kali Anwar Ibrahim mengorak sesuatu langkah, semua menunggu untuk menikmati habuannya dan sekiranya gagal, beliau seorang sahaja akan dipersalahkan.

“Perangai kebudak-budakan seperti pantas menuding jari ke arah orang lain, masih berterusan dalam kalangan segelintir manusia yang tidak dimatangkan oleh proses keusiaan.

“Jangan perangai macam budak sekolah. Rakyat sedang memerhatikan. Seharusnya, kita kena menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka, mengucapkan tahniah kepada yang menang dan memerah otak untuk dapatkan idea yang bernas untuk mara ke hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Peguam itu mengingatkan bahawa sikap suka menuding jari itu jika diteruskan akan membuatkan rakyat tidak lagi mahu menyokong gabungan itu kerana akan dilihat sebagai satu unit yang lemah.

Susulan kekalahan mengejutkan HARAPAN di Melaka, ADUN Bilut dariDAP, Lee Chin Chen membuat gesaan supaya Anwar berundur daripada jawatan ketua pembangkang.

Dia berkata, sekiranya Anwar gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada HARAPAN.

Gesaan Chin Chen itu kemudian dikritik banyak pihak termasuk Veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan apa-apa tindakan untuk meletak kegagalan itu hanya di bahu Anwar semata-mata sebagai tindakan yang tidak produktif. Ini kerana keputusan dalam gabungan itu dibuat secara bersama dan bukan Anwar semata-mata.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut mencabar Chin Chen menamakan seorang pengganti Anwar bagi mewajarkan gesaan itu, difahamkan sehingga kini dia belum memberi nama individu yang layak mengambil alih tempat Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai Ketua Pembangkang.

Sementara itu dalam kenyataannya, Manivanan berkata, setiap kali berlaku kekalahan, “gendang” akan berbunyi melalui kelompok sama dengan naratif sama, iaitu “undur Anwar undur”.

“Siapa mereka? Segelintir pimpinan DAP. Siapa daripada DAP? Semestinya segelintir Pemuda DAP. Angkara siapa? Segelintir pimpinan DAP yang masih menaruh harapan luar biasa dengan Atok96 (Dr Mahathir Mohamad),” katanya.

Manivanan kemudian mempersoalkan adakah Pemuda DAP pernah menegur pimpinan DAP dan/atau HARAPAN apabila Mahathir menghina manifesto Pakatan Harapan.

Berang dengan sikap suka salahkan Anwar
“Pernah Pemuda DAP meminta Mahathir undur selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai? Pernah Pemuda DAP menegur pimpinan kanan mereka yang turut serta dalam pelbagai langkah bersama Anwar untuk mengembalikan mandat rakyat?

“Jawapannya tidak!,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments