K'jaan kena turun padang, kawal harga barang - Young Shefura


KERAJAAN
digesa segera turun ke padang dan mengambil tindakan bagi membendung masalah kenaikan harga barang makanan mentah yang semakin tidak munasabah dan membebankan rakyat.

ADUN Ketari, Young Shefura Othman berkata tindakan segera itu perlu bagi memastikan kehidupan rakyat yang telah terkesan dengan pendemik Covid-19 tidak terus melarat.

“Walaupun masalah ini sudah dikenalpasti sejak beberapa bulan dan kerajaan sudah berjanji akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga, apa yang rakyat dapat adalah pengumuman kerajaan untuk menjalankan kajian demi kajian.
 
“Saya menyeru kerajaan untuk segera menyelesaikan masalah ini sebelum hidup rakyat melarat,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu  Berkaitan harga barang keperluan asas kembali menjadi perhatian setelah harga sayur dilapor meningkat hingga 200 peratus sejak dua minggu lepas.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata pemantauan CAP mendapati harga beberapa jenis sayur yang dijual di pasar naik, malah mereka diberitahu bahawa kemungkinan harga sayur-sayuran akan terus meningkat.

Kerajaan sebelum ini dikritik kerana gagal menangani isu kenaikan harga ayam dan telur selain barangan asas dapur yang lain.

Sementara itu kata Shefura, beliau turut menerima rungutan dan aduan daripada golongan petani bahawa harga racun dan baja untuk tujuan pertanian naik mendadak.

Ini katanya, menyebabkan harga barangan makanan seperti ayam, telur dan sayuran naik.

Dalam pada itu, beliau memohon agar bantuan kerajaan kepada rakyat diperluaskan bukan sahaja untuk golongan B40, bahkan juga M40 yang semakin tersepit.

Jangan biar hidup rakyat makin tersepit
“Kerajaan sekarang membawa mesej kerajaan Keluarga Malaysia. Namun kenapa di bawah pentadbiran kerajaan ini, keluarganya iaitu rakyat semakin hidup tertekan dan tersepit?

“Saya berharap agar kemelut kenaikan harga barangan dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas dan tahun baru Cina menjelang,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments