PERDANA MENTERI mencabar pengkritik untuk memberi contoh apakah pengkhianatan yang dilakukan kerajaan beliau terhadap Melayu dan Islam.
Presiden KEADILAN itu berkata, walaupun terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau nasihat untuk menambah baik pentadbirannya namun beliau dengan tegas menolak sebarang unsur politik kebencian diteruskan di negara ini.
“Tiada guna maki orang kata khianat dan zalim kepada orang Melayu, bagi saya satu contoh bagaimana kita khianat pada Melayu dan Islam? Jika tiada itu hanya propaganda.
“Kalau bagi cadangan atau nasihat nak perbaiki saya terima dengan senang hati tapi nak guna politik adu domba saya tidak terima,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Khas parti itu semalam.
Dalam ucapannya Anwar turut memberi amaran supaya pemimpin dan penyokong parti politik berhenti menggunakan isu perkauman untuk memecah belah rakyat di negara ini demi kepentingan politik.
"Kalau bermain guna api perkauman saya akan pastikan tindakan menangkap mereka," tambahnya.
Anwar sementara itu turut menjawab persoalan yang sering ditanya pengkritiknya mengapa sekarang banyak pendakwaan membabitkan rasuah dibuat.
Jelas Anwar, kes-kes itu dibawa ke mahkamah sekarang kerana ia tanggungjawab yang tidak dilaksana pemimpin terdahulu.
“Kenapa dahulu tiada pendakwaan rasuah? Ini kerana pemimpin dulu tiada yang bagi arahan. Paksi perjuangan kita adalah untuk membetulkan.
“Sistem sebelum ini terlalu banyak ketirisan, arahan saya tetap sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua hakim negara perlu bertindak secara adil, bebas dan berani. Siapa sakau kita tangkap,” katanya.
Lawan dengan fakta, bukan main propaganda |
“Saya tidak pilih kasih, saya tidak akan lindungi menteri yang terlibat rasuah dan kalau terlibat rasuah jangan cari saya, ini termasuk dalam kalangan menteri KEADILAN,” tambahnya.
0 Comments