PRN: tiga negeri dinaugi HARAPAN dijangka kekal


MENJELANG
Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi, Menteri Besar Selangor tampil menyatakan keyakinan bahawa  Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mempertahankan penguasaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bercakap dihadapan kira-kira 4,000 perwakilan pada Kongres Nasional Khas KEADILAN di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau turut menjangkakan gabungan itu akan mampu memperoleh majoriti lebih besar di tiga negeri berkenaan.
 
“HARAPAN juga tidak mustahil menawan Kedah, Kelantan dan Terengganu (ditadbir Perikatan Nasional – PN) sekiranya semua pihak membantu memberi penerangan lengkap ke peringkat akar umbi,” kata Amirudin yang juga Naib Presiden parti itu.

Susulan perubahan lanskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, HARAPAN yang ditunjangi KEADILAN, Amanah, DAP dan UPKO menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan  blok politik lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Bagi menghadapi PRN di enam buah negeri tidak lama lagi, perbincangan kerusi membabitkan HARAPAN dan BN sedang berlangsung dan dijangka selesai sebelum pembubaran DUN di negeri terbabit diumumkan.

Selain Amirudin, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli turut menegaskan PN tidak mampu menawan negeri pimpinan gabungan HARAPAN pada pilihan raya akan datang.

Jelasnya, meskipun terdapat perubahan sokongan dalam kalangan rakyat, namun ia tidak dilihat ketara di negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Selain itu sokongan anak muda kepada PN sebelum ini juga telah beralih kepada HARAPAN.
 
Sementara itu Amirudin dalam penggulungan juga menegaskan HARAPAN perlu memberi penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru dengan pendekatan  pembangkang yang dakwanya memperalatkan Islam dan membawa politik kebencian.

Sokongan rakyat kepada PN makin merosot
“Lawan kita telah ambil langkah nasionalisme yang sesat dengan membawa pendekatan tersebut. Mereka ini sama seperti Donald Trump (mantan presiden Amerika Syarikat), bawa politik kebencian kepada imigran.

“Ada yang kata ini gelombang hijau, gelombang Islam tetapi ia hanya gelombang fasis yang tidak sesuai dengan negara kita. Kita angkat madani kerana ia merangkumi semua,” kata ahli parlimen Gombak itu.

Post a Comment

0 Comments