BEKAS perdana menteri Mahathir Mohamad dan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil dalam kenyataan bersama mengulas situasi politik negara.
Melalui kenyataan itu, kedua-dua pemimpin itu menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin tidak sah kerana dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat.
PN juga tegas mereka tidak ada mandat secara sah menurut kertas undi dalam pilihan raya.
"Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.
"Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata," kata kenyataan yang dikeluarkan sempena memperingati ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin politik itu berkata kini masanya telah tiba agar mandat berkenaan 'dikembalikan kepada pihak yang sepatutnya', mereka menegaskan tidak sanggup "menggadaikan moral dan etika" untuk menyokong kerajaan hari ini.
“Kami tidak mahu mengkhianati rakyat yang menghabiskan masa berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.
“Dua tahun lepas, rakyat daripada berbagai agama dan bangsa telah membantu usaha kami dengan memberi derma dan sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta.
“9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir atau Anwar. Ia adalah peristiwa yang jelas mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negara.” tambah mereka.
Sebagai rekod, pada pilihan raya umum 2018, HARAPAN mencipta sejarah apabila menumbangkan kerajaan BN pimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.
Pentadbiran HARAPAN hanya bertahan selama 21 bulan susulan kemelut berpunca daripada tindakan pemimpin-pemimpin politik berkumpul di sebuah hotel di Petaling Jaya bagi membentuk gabungan sebuah kerajaan baru.
Mengakhiri kenyataan tersebut, kedua-dua tokoh politik itu berkata mereka tidak berputus asa dalam mempertahankan mandat rakyat, selain menambah bahawa semangat perjuangan mereka masih marak walaupun sudah berusia.