PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengingatkan kerajaan Muhyiddin Yassin tidak mencampuri urusan badan kehakiman terutama melibatkan kes-kes ahli politik.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang dipetik laporan media berkata, badan kehakiman perlu dibebaskan daripada sebarang kongkongan supaya keputusan yang adil dapat diberikan.
"PPMM berharap ketelusan dan keadilan dimartabatkan, pihak kerajaan tidak mencampuri urusan badan lain seperti kehakiman.
"Bebaskan sektor kehakiman daripada sebarang kongkongan dan kes-kes di mahkamah yang melibatkan ahli politik terus dibicarakan tanpa campur tangan sehingga keputusan yang adil diberikan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, beberapa pemimpin dalam gabungan kerajaan baharu itu kini sedang dibicarakan atas beberapa pertuduhan.
Bekas Presiden Umno, Najib Razak berdepan beberapa pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.
Manakala Ahmad Zahid, Presiden parti Umno, yang kini sebahagian gabungan dalam kerajaan Muhyiddin berdepan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Isteri Najib, Rosmah Mansor pula ketika ini sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah melibatkan projek solar hibrid untuk sekolah di pendalaman Sarawak.
Selain itu, beberapa pemimpin politik lain antaranya Bung Moktar Radin, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Isa Samad juga difahamkan berdepan beberapa kes di mahkamah.
0 Comments