WAKIL RAKYAT Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah dilapor telah memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai 40 peratus hasil hak Sabah yang diperoleh kerajaan Persekutuan dari negeri itu setiap tahun.
Peguam Nelson W. Angang yang mewakili HARAPAN Sabah berkata enam Ahli Parlimen (MP) dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari gabungan itu telah memulakan saman pemula sebagai plaintif dan menamakan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah sebagai defendan pertama dan kedua.
Beliau berkata saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa hak hasil 40 peratus Sabah masih terpakai.
“Jawapan Menteri Kewangan yang mewakili Kerajaan Persekutuan baru-baru ini yang mengatakan bahawa hak 40 peratus untuk Sabah tidak lagi terpakai, jadi kami mahu pengisytiharan daripada mahkamah bahawa ia masih terpakai,” katanya dipetik laporan Bernama.
Tindakan itu difahamkan susulan kenyataan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pada 14 April lalu bahawa geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
Ia setelah kedua-kedua kerajaan bersetuju mengenai semakan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian baharu itu termasuk kedua-dua kerajaan terus berunding mengenai tuntutan hasil 40 peratus oleh Sabah.
HARAPAN mahu pengisytiharan mahkamah |
Menurut Bernama lagi, wakil rakyat terlibat dalam tuntutan itu adalah Ahli Parlimen Tawau yang juga ADUN Api-Api dari KEADILAN, Datuk Christina Liew, Awang Husaini Sahari (Putatan-KEADILAN); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran-UPKO); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu - DAP); Vivian Wong (Sandakan-DAP); Noorita Sual (Tenom-DAP).
Mereka disertai ADUN Tanjong Papat Datuk Frankie Poon; ADUN Likas Tan Lee Fatt; ADUN Luyang Phoong Jin Zhe; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Inanam Peto Galim dan ADUN Kadamaian Ewon.
0 Comments