LELAKI etnik Rohingya yang sering menimbulkan kontraversi sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan pecah amanah wang RM3,500 milik seorang pesara.
Lelaki dikenali sebagai Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Abdul Hamid, 31, dari Tangkak, Johor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus pada Jumaat.
Abdul Hamim yang merupakan pengurus kedai makan didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang diamanahkan dengan harta iaitu masing-masing berjumlah RM2,000 dan RM1,500 milik Yazid Maarof, 69.
Berdasarkan pertuduhan, wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli barang-barang keperluan memasak, modal pusingan untuk berniaga dan mengubah suai serta baik pulih kedai makan di Desa Jaya, Kepong.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Keramat Permai, di sini, pada jam 4 petang, antara 2 dan 5 Jan 2017.
Abdul Hamim didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.
“Kewarganegaraan tertuduh masih belum disahkan. Dia tidak mempunyai kad pengenalan asal cuma kad pengenalan sementara dan ada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.
0 Comments