PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) didakwa bioleh mengancam kedaulatan Malaysia, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan yang dipetik laporan FMT berkata, menerusi pemaksaan model ekonomi dan standard buruh asing firma Malaysia bukanlah penerima manfaat utama langkah meratifikasi perjanjian, sebaliknya ia memberi kelebihan kepada syarikat antarabangsa besar yang mempunyai akses kepada perolehan kerajaan dan pasaran tempatan.
“Syarikat antarabangsa ini juga akan diberikan hak untuk mengheret kerajaan ke mahkamah khas sekiranya mereka menganggap kerajaan tidak mematuhi terma CPTPP.
“Mereka boleh menuntut pampasan daripada kerajaan yang mungkin berjumlah ratusan juta ringgit. Selain itu, wujud kebimbangan berkait hak harta intelek serta status syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata Shamsuddin.
Isu perjanjian CPTPP kembali diperkatakan setelah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali di dalam Dewan Rakyat mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersetuju untuk meratifikasi perjanjian tersebut pada 2018.
Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bangkit membantah kenyataan Ahli Parlimen Gombak itu dan menegaskan bahawa Kabinet HARAPAN tidak bersetuju untuk meratifikasi CPTPP kerana ia akan menyebabkan orang asing campur tangan dalam dasar perdagangan Malaysia.
"Tidak betul menyatakan kerajaan dahulu setuju meratifikasi (perjanjian), saya harap boleh betulkan fakta ini.
"Semak yang terkini, Semak (keputusan) 2019 dan 2020.Janganlah putar belit dan nyata yang tak benar," kata Lim.
Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) sebelum ini turut menggesa Putrajaya tidak meratifikasi perjanjian itu kerana mendedahkan pekerjaan kepada risiko apabila CPTPP memberi ruang kepada negara anggota untuk membatalkan undang-undang mengenai hak dan kebajikan pekerja atas nama mengurangkan halangan tarif dan menjuarai perdagangan bebas.
Sementara itu, Shamsuddin berkata terdapat perjanjian perdagangan dua hala sedia ada dengan negara lain yang turut terlibat dalam rundingan CPTPP dengan terma yang lebih memberi manfaat kepada perdagangan bebas dan pelaburan di Malaysia.
“MEF percaya Malaysia tidak harus meratifikasi CPTPP. Walaupun Malaysia telah menandatangani CPTPP, namun ia bebas untuk tidak meratifikasi perjanjian itu,” katanya dipetik.
0 Comments