Mahkamah tentukan nasib Tengku Adnan November ini


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur bakal menentukan nasib bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan tuduhan rasuah pada 17 November ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan selama dua hari yang berakhir hari ini.
 
“Saya tetapkan 10.30 pagi untuk keputusan,” katanya siang tadi.

Tengku Adnan, 69, didakwa atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Wang itu telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pemimpin Umno itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah selesai dengar penghujahan
Kedua-dua pihak telah memanggil 23 saksi dan 80 barang kes termasuk dokumen permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan, cek RM2 juta, penyata bank syarikat, penyata tahunan UMNO dan dokumen anggaran perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar turut dibawakan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah Urusan AKSB Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.
 


 

Post a Comment

0 Comments