PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Indonesia pada Ahad dengan dijadual bertemu Presiden Joko Widodo.
Lawatan rasmi negara julung kalinya sejak Anwar dilantik sebagai jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu itu sekaligus menterjemah keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.
Ia turut menzahirkan tekad Anwar sebelum ini yang mahu memanfaatkan hubungan baik beliau dengan pemimpin antarabangsa bagi menarik pelaburan asing ke Malaysia.
Menteri luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu sidang media berhubung lawatan itu berkata, Anwar dengan Joko Widodo akan mengadakan pertemuan di Istana Bogor pada 9 Januari (Isnin).
Beberapa isu penting termasuk kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global bakal dibincangkan.
Antara isu utama lain yang akan dibincangkan dalam lawatan itu adalah mengenai kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara yang dijangka memberi manfaat pembangunan kepada Malaysia terutama buat Sabah dan Sarawak.
"Salah satu daripada perbincangan yang akan diadakan melibatkan dua pemimpin ini dalah berkisar dalam konteks pembangunan di IKN.
"Sebuah Majlis Penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara.
"Selain itu lapan Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu,
Zambry juga menambah, kedua-dua pemimpin akan turut membincangkan isu membabitkan hubungan lain antaranya isu pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian ASEAN oleh Indonesia pada tahun ini.
Memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan negara pengeluar minyak sawit utama dunia, kedua-dua pemimpin juga bakal membincangkan strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).Lawatan bagi memperkukuh hubungan dua hala
"Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum berkenaan Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia pada hari yang sama," tambahnya lagi.
0 Comments