AHLI pengkaji China di Institut Penyelidikan Perikanan Sungai Yangtze mengisytiharkan paddlefish Cina sebagai pupus.
Melalui jurnal Sains Alam Sekitar pada 23 Disember lalu, pengkaji percaya spesies ikan air tawar terbesar di China itu telah pupus antara tahun 2005 hingga 2010 lalu.
Sebagai rekod, paddlefish atau nama saintifiknya psephurus gladius berasal dari Sungai Yangtze, negara itu.
Melalui laporan sumber daripada The Straits Times Singapura, seorang penulis yang terlibat dalam kajian tersebut, Wei Qiwei berkata, kesimpulan itu dilakukan berdasarkan penilaian oleh panel pakar daripada Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam di Shanghai.
“Paddlefish Cina yang mempunyai panjang kira-kira 2 hingga 3 meter dan boleh mencecah hingga 7 meter ini telah wujud sejak 15 juta tahun yang lalu.
“Ikan ini telah tersenarai antara haiwan yang terancam sejak 1996 lagi. Penemuan terakhir ikan ini adalah pada 2003. Sejak itu, tiada lagi penemuan ikan ini dilaporkan,” katanya.
Beliau sendiri pernah turun padang dalam misi menyelamatkan ikan tersebut daripada terperangkap.
Katanya, kepupusan ikan tersebut telah menimbulkan perhatian orang ramai yang menyuarakan rasa sedih terhadap kepupusan haiwan tersebut.
“Antara tahun 1984 dan 1993, saya pernah menyelamatkan empat ikan terperangkap tetapi hanya satu berjaya diselamatkan dan dilepaskan kembali ke sungai.
“Orang ramai juga berharap agar haiwan terancam yang lain dapat dilindungi dengan lebih baik agar generasi akan datang dapat melihatnya,” katanya melalui jurnal itu.