SEORANG Pensyarah Kanan berpandangan bahawa penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) tidak memberi kesan terbaik untuk memacu pentadbiran kerajaan melawan Covid-19.
Dr Syed Agil Alsagoff dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) sebaliknya berkata, ia akan mencetuskan polemik terutamanya melibatkan persepsi politik dan ekonomi negara di mata luar bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
Merujuk cadangan dikemuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad semalam supaya Majlis itu dengan alasan bahawa Mageran 1969 berjaya menyelesaikan isu negara ketika itu, Syed Agil menegaskan bahawa keadaan ketika itu berbeza pada masa sekarang.
"Mageran selepas 13 Mei 1969 diwujudkan untuk merangka polisi dan memperbaiki sosiopolitik dan ekonomi negara susulan negara ketika itu dilanda musibah persengketaan kaum.
"Sekarang yang mana pendekatan strategik dan berfokus harus dibangunkan dengan melibatkan semua pihak bagi menangani pendemik Covid-19," katanya dipetik sebahagian laporan Sinar.
Sehubungan itu jelasnya, adalah tidak wajar mewujudkan Mageran yang mana isu kesihatan global kini ditadbir berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan melibatkan hanya negara kita semata-semata.
"Apa yang penting ialah kesediaan kerajaan mengumpulkan pandangan daripada semua pihak, mencari jalan penyelesaian yang berkesan bagi melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.
"Di samping itu, perlu merancang serta melaksanakan strategi vaksinasi secara menyeluruh dan pantas dalam kalangan rakyat di negara ini supaya pengawalan jangkitan dapat dibuat dengan sistematik," tambahnya.
Beliau menambah, dengan mendirikan mekanisme mengurus dan melaksanakan pandemik Covid-19 sebagaimana telah dilakukan negara-negara luar yang terbukti perancangan strategik berfokus dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara mereka.
Pentadbiran Muhyiddin baru-baru ini dikritik ramai susulan peningkatan mendadak Covid-19 di negara ini, kerajaan dikepalainya dilihat gagal mencari formula terbaik meredakan lekuk jangkitan walaupun negara diletak dibawah pengisyhtiharan darurat dan Parlimen ditutup.Perlu tindakan berfokus lawan Covid-19
Pemimpin utama parti politik dari Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika menghadap Yang di-pertuan Agong minggu ini mengusulkan supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibuka kembali bagi membolehkan wakil rakyat membincangkan isu rakyat.
Malah mereka menolak cadangan Mahathir supaya Mageran ditubuhkan.
0 Comments