PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) menolak candangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dibawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad
Melalui satu kenyataan oleh Majlis Presiden gabungan itu, mereka sebaliknya sekali lagi menggesa supaya penguatkuasaan darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang bagi membolehkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dibincangkan.
"Majlis Presiden mengambil maklum cadangan Tun Dr Mahathir untuk mewujudkan sebuah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara pada waktu ini,terutama berkait Covid-19.
"Walau bagaimanapun, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan menolak cadangan MAGERAN ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.
"Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen," kata kenyataan itu.
Ia ditandatangani Pengerusinya yang juga adalah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden parti Amanah, Mohemad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Semalam, Mahathir memaklumkan dia telah membangkitkan cadangan itu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Sultan Abdullah pada minggu ini membuat beberapa pertemuan dengan pemimpin parti-parti politik negara dari kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu-isu negara.
Sesi pertemuan secara berasingan itu bermula Rabu di mana Seri Paduka telah menerima mengadap Anwar, Mohamad Sabu dan Guan Eng.
Pada Khamis,Seri Paduka menerima mengadap Mahathir, presiden parti Warisan Sabah, Shafie Apdal, presiden parti MCA Wee Ka Siong, serta timbalan presiden parti PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap hari ini.
Sebagai rujukan mMageran adalah sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran negara.
Ia pernah ditubuhkan pada 15 Mei 1969 iaitu dua hari selepas pengisytiharan darurat susulan rusuhan kaum terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara dengan Tun Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu dilantik sebagai pengarah dan diberikan kuasa eksekutif penuh.
Negara diletakkan dibawah Mageran selama dua tahun sebelum dibubarkan pada tahun 1971 selepas parlimen dibuka semula.
Ahli Parlimen Langkawi itu mencadangkan penubuhan itu kerana Mageran yang ditubuhkan dulu dan diketuai Perdana Menteri ketiga, Tun Abdul Razak Hussein menurutnya berjaya menangani masalah politik pada masa itu.
Mahathir yang dipetik laporan Benar news semasa ditanya wartawan samada Muhyiddin atau orang lain patut mengetuai Mageran sekiranya ia ditubuhkan sekali lagi, Mahathir sebaliknya menyatakan bahawa beliau telah menawarkan diri sendiri mempengerusikan Mageran kepada Tuanku.Darurat perlu ditamatkan dan Parlimen dibuka
"Kita tidak menyatakan siapa yang akan menjadi ketua, tetapi kerana saya berada di situ, saya telah menawarkan khidmat saya," kata Mahathir dipetik.
0 Comments