Lobi sokongan: KEADILAN kecam pihak 'jaja' nama Agong


ADA
pihak tertentu didakwa sedang cuba mendapatkan perakuan berkanun (SD) daripada ahli-ahli parlimen untuk mendapat jawatan dalam kerajaan pusat, dakwa Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Melalui satu kenyataan media malam tadi, Fahmi Fadzil yang juga adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan usaha itu yang didalangi beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan utama dalam parti disertai mereka.

Malah Fahmi turut mendakwa, pihak itu menggunakan taktik jelek dengan menjaja nama Agong bagi memenuhi agenda mereka.
 
"KEADILAN turut difahamkan bahawa ahli-ahli parlimen terbabit berbuat demikian dengan mendakwa kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu muncul ketika Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam proses berkenan menerima menghadap pemimpin utama parti dalam negara selain timbul cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai cara menghadapi situasi semasa politik negara juga menjadi polemik pada hari ini.
 
Sementara itu tegas Fahmi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan parti diwakilinya percaya bahawa dakwaan ‘restu’ itu adalah tidak benar sama sekali.

"KEADILAN mengambil pendirian nama Agong tidak patut digunakan sebagai helah untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara kita pada ketika ini," katanyasambil menyifatkan tindakan pihak itu sebagai langkah terdesak mendapat kedudukan.

"Mereka wajar ditolak oleh rakyat," tambahnya sembil menegaskan bahawa tumpuan sekarang sepatutnya ditumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

Portal FMT yang memetik laporan The Vibes melaporkan dakwaan seorang sumber yang tidak dinamakan bahawa ada usaha mendapatkan sokongan untuk Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk dijadikan calon timbalan perdana menteri.

Nama Agong tak patut dijadikan helah


Sumber itu juga mendakwa bahawa Muhyiddin Yassin akan berundur daripada jawatannya beberapa bulan akan datang untuk memberi laluan kepada bekas naib presiden Umno itu untuk menggantikannya.


Bagaimanapun Hishammuddin menganggap laporan tersebut sekadar khabar angin.
 

Post a Comment

0 Comments