Selangor peruntuk RM551.56 juta untuk bantu warga negeri


SEBANYAK RM551.56 juta diperuntukkan kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu rakyat negeri itu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 itu dijangka akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.

“Menginsafi keluhan rakyat yang sedang menderita kesusahan, maka kerajaan negeri berteraskan tiga strategi meliputi 25 program telah merangka Pakej Kita Selangor 2.0,” katanya pada sidang media.

Antara pakej bantuan diberikan adalah seperti meneruskan inisiatif bakul makanan untuk golongan berpendapatan rendah dan terkesan akibat pandemik serta pelaksanaan PKP.

Program itu yang akan dilaksanakan di setiap 56 DUN dengan had perbelanjaan Program Mesra Rakyat setiap ADUN, tanpa mengira kerajaan atau pembangkang, ditingkatkan kepada RM100,000.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 bagi tujuan program tersebut dengan jumlah peruntukan RM3.28 juta,” katanya lagi.

Bantuan lain yang akan disalurkan kerajaan negeri adalah sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk setiap pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Selangor. inisiatif itu akan dilaksana dengan peruntukkan RM1.5 juta.

Selain itu kerajaan negeri juga telah bersetuju memberi penangguhan bayaran sewa selama sebulan kepada Rumah PPR dan penyewa Rumah Smart Sewa di
Selangor.

Seramai 2,632 individu yang menyewa di Rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan bayaran sewa bulan Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000, menurut Amirudin.

Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga akan menawarkan Skim Internet Selangor khusus bagi golongan M40 (SISM40) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi negara, iaitu Telekom Malaysia (TM), memperuntukkan subsidi internet khusus kepada rakyat Selangor.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi memanfaatkan golongan OKU di Selangor dengan bantuan ‘one-off’ berjumlah RM500.” tambahnya lagi.
 
Dalam perkembangan sama, ADUN Sungai Tua itu juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin KEADILAN akan melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 percuma Fasa Ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri.

 Selangor jaga kebajikan rakyat
“Fasa Ketiga akan berasaskan dua strategi berdasarkan dapatan Fasa Pertama dan Fasa Kedua, iaitu penumpuan kepada kawasan ‘hotspot’ kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang," jelasnya.

Difahamkan sehingga 8 Jun lalu, seramai 117,314 individu menjalani ujian saringan Covid-19 Fasa Dua.

Sejak Covid-19 melanda negara, kerajaan negeri telah melaksanakan saringan Covid-19 secara percuma melalui Program Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Percuma Fasa Satu dan Dua.



Post a Comment

0 Comments