KEADILAN telah mengarahkan semua Ahli Parlimen dari parti itu untuk mula bersiap sedia untuk persidangan Parlimen.
Perkara itu dinyatakan Ketua Whip Ahli Parlimen KEADILAN, Datuk Johari Abdul dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman web rasmi parti itu.
Menurut Johari yang juga adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, rakyat menuntut ketelusan dan pertanggungjawaban yang lebih besar dari Kerajaan atas kegagalan mengawal penularan wabak COVID-19 dan juga pengendalian program vaksinasi yang lemah dan tidak cekap.
Justeru tegasnya cara terbaik untuk memastikan Kerajaan telus dan bertanggungjawab adalah dengan memastikan Parlimen dapat bersidang semula secepat mungkin.
"Persidangan Parlimen akan membolehkan semua Ahli Parlimen backbencher meminta penjelasan terperinci dari menteri-menteri yang jelas telah gagal.
"Ia juga akan memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk mencadangkan dasar yang lebih baik dan membolehkan semua Jawatankuasa Pilihan Khas beroperasi,'tegasnya.
Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan yang sebelum ini berkata bahawa kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sebagai rekod, kerajaan dikepalai Muhyiddin Yassin dikritik hebat susulan penggantungan sidang Parlimen ekoran pengisytiharan darurat yang dicadangkan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Bukan sahaja Pakatan Harapan (HARAPAN) malah Umno yang sebahagian kerajaan dalam Perikatan Nasional (PN) turut menggesa supaya sidang itu diadakan segera.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam turut membangkitkan perlunya Parlimen bersidang untuk membincangkan isu berkaitan rakyat terutama ketika negara berdepan pendemik Covid-19.
Sementara itu Johari menegaskan bahawa antara yang telah dijalankan partinya sebagai persiapan untuk sidang Parlimen yang diharap boleh diadakan selewatnya pada Ogos ini adalah dengan mula mengatur perbincangan dasar melalui aplikasi Zoom dengan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN.
Bersiap sedia untuk bersidang |
"Sesi taklimat seterusnya akan memberi tumpuan kepada dasar pendidikan serta luar negeri. Secara keseluruhannya, KEADILAN telah merancangkan lima sesi dalam tempoh masa 10 hari, dan jika perlu, jadual ini boleh dipercepat.
"Semua Jurucakap Parlimen KEADILAN ditugaskan untuk meneliti dan berkongsi data dan dasar serta memimpin perbincangan-perbincangan dasar. Akhir sekali, saya ingin meyakinkan rakyat bahawa semua Ahli Parlimen KEADILAN akan cukup bersedia untuk persidangan Parlimen seawal minggu ketiga Jun 2021," jelas Johari.
0 Comments