Mengapa bangunan tentera jadi tempat 'pertemuan politik' , soal Patriot


PERSATUAN PATRIOT KEBANGSAAN
(Patriot) mempersoalkan tindakan beberapa Ahli Parlimen yang sebelum ini dilapor mengadakan perjumpaan politik 'rahsia' di premis Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Presidennya, Arshad Raji melalui satu kenyataan menyifatkan pertemuan bagi 'kepentingan politik' di Wisma Perwira di Kuala Lumpur itu tidak sepatutnya berlaku.

Tegasnya lagi. Patriot yang dianggotai pesara kerajaan itu  membantah keras tindakan mengadakan pertemuan politik itu.

"Soalan yang perlu ditanya adalah - mengapa bangunan mes (tempat tentera beristirahat dan mengadakan pertemuan) ATM digunakan untuk agenda politik? Mengapa 'pertemuan rahsia' ini tidak dibuat di ibu pejabat Umno di PWTC?" soal Arshad Raji.

Menurut sumber Umno semalam, seramai lebih 25 anggota parlimen BN hadir dalam pertemuan Ahad malam itu, untuk menandatangani perakuan berkanun (SD) menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, pertemuan yang dilapor itu bukan kali pertama berlangsung. Pada awal Julai lalu Ahli Parlimen Umno turut didakwa mengadakan pertemuan di premis sama ketika spekulasi Umno akan menarik balik sokongan kepada Mahiaddin Md Yassin.

Dalam pada itu, Patriot turut mengecam Ismail Sabri, yang juga menteri pertahanan, kerana membenarkan pertemuan politik diadakan di situ.

"Ahli veteran Patriot yang merupakan pesara pelbagai jawatan dalam Kementerian Pertahanan akan bersetuju bahawa seorang menteri pertahanan perlu memahami yang angkatan tentera bukan saja perlu kekal tidak berunsur politik, tetapi perlu dilihat sedemikian.

"Tindakan membenarkan 'pertemuan rahsia' di kalangan ahli politik di kompleks angkatan tentera bersamaan dengan mengheret angkatan tentera ke dalam kancah politik," katanya dipetik.

Jangan heret tentera dalam permainan politik
Arshad sementara itu membangkitkan apakah kegiatan politik yang berlaku di premis tentera itu telah diberi kebenaran oleh presiden jawatankuasa mes.

"Jika ada kebenaran, presiden telah menyimpang dan pastinya mencetuskan kemarahan di kalangan anggota dalam angkatan tentera," katanya lagi sambil menegaskan agar perkara itu yang "menjejaskan imej ATM" tidak lagi berlaku.

Post a Comment

0 Comments