Pesara polis maut di Gunung Ledang


SEORANG lelaki yang juga merupakan anggota polis dilapor meninggal dunia ketika mendaki Gunung Ledang, dekat Tangkak semalam.

Insiden itu disahkan Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz.

Menurutnya,  Amran Rawi, 59, yang merupakan bekas anggota polis, disahkan meninggal dunia ketika berada di kawasan Batu Hampar, yang berketinggian 1,050 meter dari aras laut.

Amran difahamkan memulakan pendakian di gunung setinggi 1,276 meter terbabit pada jam 8.35 pagi tadi bersama sekumpulan pendaki melibatkan 56 orang termasuk dua kanak-kanak.

Ketika tiba di Batu Hampar hampir menuju ke check point 7 pada kira-kira jam 11.30 pagi, Amran kemudian mengalami serangan jantung.

Kumpulan berkenaan yang berada pada paras ketinggian lebih 1,000 meter menghadapi sedikitt kesukaran mendapat liputan talian telefon untuk menghubungi pihak berkuasa.

Bagaimanapun,  pusat gerakan operasi bomba negeri menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 1.51 tengah hari tadi bagi memohon bantuan bomba membawa turun jenazah Amran.

"Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan sebuah van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian bagi membawa turun jenazah itu.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang lelaki berumur 59 disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat komplikasi serangan jantung oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Katanya, operasi menurunkan jenazah Amran yang dibantu polis itu tamat kira-kira 7.05 malam dan jenazahnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk tindakan lanjut.