HARAPAN gesa tambah bantuan Pemulih, anak bawah 12 tahun


PAKATAN HARAPAN
(HARAPAN) mencadangkan agar bantuan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk rakyat terjejas pendemik Covid-19 ditingkatkan.

Cadangan itu disuarakan dalam pembentangan Belanjawan 2022 semalam dengan peruntukan dicadangkan sebanyak RM5 bilion.

Menurut gabungan itu, bantuan kepada isi rumah miskin tegar wajar dinaikkan kepada RM2,500, B40 kepada RM1,900 dan M40 RM1,100 berbanding RM1,300, B40 RM800 dan M40 RM250 seperti diumumkan dalam bantuan Pemulih sebelum ini.

Dengan meningkatkan jumlah bantuan itu, HARAPAN berharap ia dapat menjamin kelangsungan hidup isi rumah yang terkesan susulan pendemik itu.

“Cadangan ini turut mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh keluarga-keluarga M40 (termasuklah golongan kelas pertengahan yang tidak termasuk dalam takrifan M40),” katanya dalam laporan pembentangan yang diedarkan hari ini.

Sementara itu HARAPAn turut mengingatkan kerajaan supaya mengamalkan prinsip pengagihan saksama kepada ketua isi rumah wanita di mana ketua isi rumah wanita di Malaysia dilaporkan mempunyai pendapatan 40% kurang berbanding purata isi rumah di Malaysia.

“Sehingga Mac 2021, pendapatan median isi rumah adalah sebanyak RM 2,117, manakala pendapatan median ketua isi rumah wanita hanyalah RM1,300.

“Kekurangan akses kepada pendidikan menyebabkan kebanyakan ketua isi rumah wanita disisihkan.

“Usaha harus digiatkan untuk membantu golongan ini,” kata mereka.

Selain bantuan itu, mereka turut berharap kerajaan dapat memberikan bantuan tunai lain yang mengambil kira bilangan kanak-kanak di bawah tanggungan ketua isi rumah.

Mereka mencadangkan bantuan bulanan berjumlah RM100 untuk setiap anak bawah 12 tahun yang tergolong dalam kumpulan isi rumah B40 dan M40.

HARAPAN mahu beban rakyat diringankan
“Cadangan ini akan meringankan beban ibu bapa baru yang turut terkesan dengan pandemik terutamanya dengan penutupan pusat asuhan dan sekolah.

“Cadangan ini akan menjadikan program bantuan tunai adalah responsif dan bersesuaian dengan saiz keluarga,” kata mereka.

Post a Comment

0 Comments