Anwar mahu usul tergempar dibincangkan dalam Dewan Rakyat


KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa usul tergempar ke Dewan Rakyat bagi membahaskan isu penjualan kira-kira RM9.41 bilion kepentingan perniagaan syarikat petroleum milik negara - Petronas di Azerbaijan.

Usul itu dibentangkan Ahli Parlimen Port Dickson itu dibawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) – yang memperkatakan perkara kepentingan awam.

Menurut Anwar, Petronas menjual kepentingan perniagaannya itu selepas dividen Petronas kepada kerajaan dinaikkan kepada RM25 bilion untuk 2021.

"Petronas mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 sehingga kini yang memaksa Petronas menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai.

“Ini penting kerana penjualan aset di Azerbaijan bernilai hampir RM10 bilion dan juga dengan dividen RM25 bilion kepada kerajaan untuk 2021, ia berbahaya dan boleh merosakkan masa depan Petronas,” katanya dipetik.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kemudian membenarkan usul itu dan bersetuju isu itu penting, mendesak dan perkara kepentingan awam.

Katanya usul itu akan dibahaskan di kamar khas.

Bagaimanapun, Anwar berhujah perkara itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan ekonomi negara.

“Sepatutnya hal yang menyentuh kepentingan negara dan kepentingan ekonomi negara yang diakui sendiri maka sewajarnya Dewan (Rakyat) sepatutnya membahaskan,” kata Anwar.

Masa depan Petronas perlu dipertahankan
Presiden KEADILAN itu menegaskan selain tindakan seperti itu boleh menjejaskan masa depan Petronas, tindakan penjualan kepentingan perniagaan itu juga telah menyebabkan JP Morgan mengeluarkan Petronas daripada ESG Emerging Market and Bond Index dan ESG Asia Credit Index.

“Petronas institusi penting kepada ekonomi negara dan sewajarnya diperkukuh kekuatannya dan tidak dilemahkan penarafan syarikat, kemampuan untuk melabur bagi menjana masa hadapan yang mampu membayar dividen yang munasabah kepada kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments