Mahkamah tolak rayuan Kamarul batal saman Senator Amanah


RAYUAN kolumnis portal milik PAS, Harakahdaily Kamarul Zaman Yusoff untuk membatalkan saman Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN), Aiman Athirah Sabu terhadapnya ditolak.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang semalam.

Panel hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan dibantu oleh Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Hakim Datuk Nordin Hassan menolak rayuan Kamarul yang merupakan defendan dalam kes saman itu setelah mendengar hujah peguam kedua-dua pihak.

Hakim Mohamad Zabidin semasa menyampaikan keputusan, menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan campur tangan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkenaan sebelum ini.

Kamarul memfailkan rayuan berkenaan setelah Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 7 Januari lalu telah menolak permohonannya untuk membatalkan saman Aiman ke atasnya.

Difahamkan, saman itu dikemukaka ekoran tulisan Kamarul Zaman di akaun Facebook pada 25 Mei tahun lalu dengan tajuk 'ketua wanita Amanah hipokrit' dan tulisan melalui akaun Facebook sama pada 26 Mei yang juga turut dianggap oleh Aiman sebagai memfitnah.

Dipetik laporan Malaysiakini pada Julai tahun lalu, Aiman atau nama sebenarnya Raj Munni Sabu mengemukakan saman fitnah tersebut walaupun Kamarul sebelum ini menyatakan permohonan maaf.

Mahkamah tolak rayuan Kamarul
Peguam mewakili senator itu, Rusilawati Zakaria ketika itu berkata, anak guamnya menolak permohonan maaf tersebut setelah merasakan permohonan maaf oleh Kamarul Zaman itu tidak memberi gambaran bahawa defendan benar-benar insaf dan menyesali atas kenyataan yang dibuatnya.

Pada perbicaraan semalam, Aiman Athirah diwakili oleh peguam Hisham Fauzi manakala peguam Faidhur Rahman Abdul Hadi mewakil Kamarul.
 

Post a Comment

0 Comments