Lelaki Bangladesh bikin kecoh di Bukit Bintang


SEORANG lelaki warga Bangladesh yang dipercayai kurang siuman menarik perhatian orang ramai di Bukit Bintang semalam duduk diatas sebuah tiang papan tanda.

Lelaki bersenjatakan pisau itu turut bertindak agresif ketika pihak berkuasa polis dan penyelamat cuba membawanya turut.

Melalui satu rakaman video yang dikongsikan di laman sosial, pihak berkuasa dilihat terpaksa mengguna kekerasan bagi memaksa lelaki itu turun, namun berlaku sedikit pergelutan apabila lelaki itu ingkar dan bertindak kasar terhadap pihak berkuasa. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata lelaki itu pada awalnya mengacukan pisau kepada orang awam yang melalui jalan itu sebelum melarikan diri ke jejantas di Jalan Pudu bersebelahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebaik menyedari kehadiran polis.

“Lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an kemudian bertindak memanjat tiang papan tanda berdekatan sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang dan membuat provokasi di atas papan tanda.

“Ekoran itu, polis memohon bantuan pihak bomba dari Balai Hang Tuah untuk memujuk dan membawanya turun, namun lelaki itu sekali lagi bertindak ganas dengan menendang bahagian muka serta badan anggota bomba dan polis ketika proses itu,” katanya dipetik FMT.

Fahmi berkata lelaki itu berjaya ditahan pada jam lebih kurang 2.10 petang dan dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai di kawasan kejadian selain videonya tular di media sosial.