PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Baram mencadangkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan pangkalan di daerah tersebut.
Pengerusi PKR Baram Roland Engan berkata, pengkalan itu perlu bagi memudahkan operasi membantu memandangkan kawasan itu kerap berlaku banjir dan bencana saban tahun.
Sambil mencadangkan pangkalan itu dibina di Marudi, lokasi itu jelasnya strategik dijadikan kawasan pusat operasi termasuk bagi kawasan sekitar termasuk Mulu dan Beluran yang juiga sering dilanda banjir.
Manakala jelasnya, pusat operasi yang sedia ada di bandar raya Miri hanya cukup bagi memenuhi keperluan bahagian Miri.
“Cadangan terbabit telah diutarakan sebelum ini dan terpaksa ditangguhkan berikutan dengan kekangan peruntukan yang dihadapi oleh kerajaan persekutuan,” jelasnya.
Difahamkan, terdapat 45 rumah panjang dan kampung di kawasan Baram yang terdedah kepada banjir
dan PKR Baram bekerja rapat dengan jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan mereka yang terjejas akibat banjir diberikan bantuan sewajarnya.
Mengulas mengenai masalah banjir di kawasan Baram, Roland mahu setiap masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan semangat sukarelawan bagi bersama membantu dan menangani masalah banjir terbabit.
Minggu lalu, Pekan Marudi hampir lumpuh selepas dinaiki air sehingga 0.3 meter yang menjejaskan aktiviti perniagaan serta rutin harian penduduk di sini.
Ia berlaku susulan limpahan air dari Sungai Baram, selepas hujan lebat kawasan berkenaan.
0 Comments