Belanjawan 2023: peruntukan untuk KKM kedua terbanyak


SEKTOR
kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar pada Belanjawan 2023 dengan jumlah RM36.3 bilion.

Meningkat sebanyak RM3.9 bilion berbanding peruntukan tahun lalu, ia akan meliputi keperluan perolehan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna habis.
 
Jumlah itu adalah termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah menunggu sekian lama.

Bercakap ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memaklumkan kerajaan akan menyelesaikan isu kesesakan di hospital kerajaan antaranya dengan menyumber luar pesakit kepada hospital universiti, hospital tentera dan kepada hospital swasta.
 
Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta.

Selain itu kerja awalan untuk menaik taraf 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar di Perak; Jelebu (Negeri Sembilan) dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad akan dimulakan.

K'jaan akan perkasa Skim Peduli Kesihatan
"Kerajaan juga menyediakan RM80 juta bagi memperkasakan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) untuk kemudahan pemeriksaan atau saringan awal khas bagi golongan B40 dengan menjadikannya turut merangkumi saringan penyakit kencing manis.

"Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dan sebagai tambahan, skop pelepasan ini juga diluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti austime, sindrom Down dan Specific Learning Disabilities," katanya.


Post a Comment

0 Comments