AMK Sabah gesa Ahli Parlimen tolak Belanjawan PN


SELURUH Ahli Parlimen termasuk pembangkang dan di pihak kerajaan digesa menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Gesaan itu dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah setelah menyifatkan Belanjawan itu sebagai “cincai”

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin melalui satu kenyataan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius semasa menyediakan belanjawan tersebut, hala tuju Belanjawan tersebut dakwanya tidak jelas terutama dalam usaha memulihkan semula ekonomi.

“Kita perlukan satu belanjawan yang efisyen bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi.

“Jika blok pembangkang mampu memberikan belanjawan yang lebih baik kenapa kita perlu menyokong belanjawan kerajaan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu, bukan rakyat secara keseluruhannya.

“Ini bukan masa untuk bermain politik tapi masa untuk kita berikan yang terbaik kepada rakyat dan negara untuk jangka masa panjang, bukan hanya kelebihan untuk suku pertama 2021,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beberapa ahli ekonomi sebelum ini mengulas belanjawan tersebut yang menurut mereka kurang realistik atau tidak mengambil kira kesan Covid-19 kepada negara.

BACA: Putrajaya disifatkan gagal ambil kira kesan Covid-19 

BACA: Belanjawan PN kurang realistik, kata ahli ekonomi

Malah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan awalnya berhubung Belanjawan itu menyifatkannya sebagai penuh kelemahah.

BACA: Belanjawan 2021 penuh kelemahan - Anwar

Sementara itu, Razeef mempersoalkan cadangan kerajaan menberikan peruntukan lebih RM81 juta diberikan kepada alat propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang hanya mempunyai 52 orang pekerja.

Kecewa dengan cadangan itu, Razeef berkata, ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan peruntukan elaun khas secara one-off RM500 kepada 100,000 petugas kesihatan.

AMK ajak tolak belanjawan PN
Beliau turut berkata, pemberian one-off kepada rakyat bukan penyelesaiaan terbaik bagi memulihkan ekonomi rakyat, Malaysia tegasnya memerlukan belanjawan jangka panjang dan bukannya pemberian yang dianggap mengambil hati rakyat itu.  

"Maka sekali lagi saya menyeru ahli-ahli parlimen menolak belanjawan cincai yang dibentangkan kerajaan PN," katanya.

Post a Comment

0 Comments