Belanjawan PN kurang realistik, kata ahli ekonomi

 

BEBERAPA ahli ekonomi melihat Belanjawan 2021 kurang realistik, dengan berkata, isu-isu penting tertentu belum ditangani dalam usaha memacu negara menuju fasa pemulihan efektif daripada impak pandemik Covid-19.

Dipetik laporan FMT, mereka berkata, beberapa kekurangan dilihat pada Belanjawan itu.

Ia antaranya tiadanya rancangan untuk melakukan reformasi dasar dalam syarikat berkait kerajaan (GLC), langkah meningkatkan pelaburan, bantuan tunai yang tidak mencukupi untuk golongan memerlukan dan kekurangan rancangan serta dana untuk mempersiapkan tenaga kerja berikutan langkah banyak syarikat beralih kepada automasi.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia Carmelo Ferlito berkata, kerajaan terlalu optimis dalam ramalannya berhubung pertumbuhan ekonomi sebanyak 6% hingga 7% tahun depan.

“Itu hanya dapat dicapai jika kita bebas Covid-19 esok dan sempadan dibuka semula. Jika tidak, ia hanyalah mimpi,” katanya menurut laporan itu.

Jelasnya, walaupun perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion merupakan angka tertinggi dalam sejarah negara, namun ia kekurangan arah dalam jangkaaan pertumbuhan keseluruhan sebuah negara seperti Malaysia yang masih berusaha membendung Covid-19, bukannya memasuki peringkat pemulihan.

“Belanjawan itu juga terlepas peluang untuk menerapkan dasar yang menguntungkan negara, seperti reformasi GLC, meliberalisasikan pasaran kerja untuk menarik pelabur asing dan mengurangkan proses birokrasi bagi memudahkan pelabur asing menjalankan perniagaan di Malaysia.

Ahli ekonomi kritik belanjawan PN
‘Menggaji 50,000 dalam perkhidmatan awam bawa masalah lambakan kakitangan’

“Sebaliknya, kerajaan mahu GLC dan perkhidmatan awam menggaji 50,000 orang lagi tahun depan,” katanya.
 
Seorang lagi ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, perbelanjaan operasi sebanyak 73% dalam belanjawan itu terlalu tinggi.

“Perbelanjaan kerajaan terus meningkat dan wang tambahan diperlukan untuk mentadbir sektor awam,” katanya, merujuk kepada perbelanjaan mengurus yang meningkat sebanyak 2% berbanding tahun lepas.

“Belanjawan itu juga menunjukkan kerajaan berdepan beberapa kekangan dalam aliran tunainya menyebabkan ia perlu meminjam 26% daripada jumlah keseluruhan belanjawan. Ini menunjukkan kerajaan kehabisan hasil,” katanya

Bardai juga kecewa kerana peruntukan yang mencukupi tidak disediakan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia yang terancam dengan automasi, selain menambah bahawa banyak pekerja akan dibuang dalam proses itu.

“Saya berharap Putrajaya membelanjakan sekurang-kurangnya RM20 bilion untuk mempersiapkan tenaga kerja dalam Revolusi Industri (IR) 4.0 kerana banyak syarikat beralih ke automasi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments