Putrajaya disifatkan gagal ambil kira kesan Covid-19


BELANJAWAN 2021 yang dibentang Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dianggap indah khabar dari rupa.

Seorang pakar ekonomi mengkritik sikap Putrajaya yang terlalu optimistik berhubung unjuran hasil yang akan dikutip melalui cukai tahun depan.

Geoffrey Williams dari Universiti HELP  berkata, anggaran hasil daripada cukai pendapatan korporat diunjurkan adalah tidak realistik kerana kerajaan sepatutnya menjangkakan tahap keuntungan lebih rendah, selain bersedia untuk berdepan kemungkinan lebih banyak syarikat ditutup akibat penularan wabak Covid-19.

Justeru tegasnya, kerajaan kelihatan gagal mengambil kira kesan ekonomi wabak Covid-19 sepenuhnya.

“Pelik apabila kerajaan mengunjurkan cukai korporat akan bertambah sedangkan ia mula jatuh pada 2019, hatta sebelum terjadinya krisis.

“Juga terlalu optimistik untuk menjangka cukai pendapatan individu akan bertambah sedangkan ramai orang hilang pekerjaan atau memperoleh pendapatan lebih rendah,” katanya dipetik laporan FMT.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata, kerajaan mengjangkakan kutipan cukai sebanyak RM64.60 bilion pada 2021, hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding kutipan pada 2019.

Williams bagaimanapun berkata, unjuran itu sukar dicapai kerana proses pemulihan ekonomi berjalan perlahan.

Williams berpandangan unjuran sukar dicapai
Kutipan daripada cukai perbelanjaan dan duti eksais pada 2021 juga diramal lebih rendah daripada unjuran kerana perbelanjaan pengguna bakal terkesan susulan pendapatan boleh guna yang lebih sedikit.

“Masalah pengangguran dan penggunaan tenaga tidak penuh akan mengambil masa untuk diatasi dan pendapatan orang ramai akan terkesan sehingga tahun depan.

“Kita tidak menjangka KDNK akan pulih ke paras 2019 sehingga separuh ke-2 tahun 2021. Jika ia tercapai sekalipun, KDNK hanyalah sekitar 8%, jauh lebih rendah daripada kadar yang boleh dicapai sekiranya wabak Covid-19 tidak berlaku.” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments