Anak tetak ayah kerana mahu bela ibu


SEORANG lelaki berusia 53 tahun putus tangan kanan  selepas ditetak dengan parang oleh anak lelakinya.

Dalam kejadian di Taman Keladi, di Sungai Petani, semalam mangsa dilaporkan menggunakan tangan kanannya untuk menahan daripada ditetak di muka oleh suspek yang berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati selepas mangsa bergaduh dengan isterinya (isteri mangsa).

“Pada jam 11 pagi, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan isterinya yang juga ibu kepada suspek.

“Suspek cuba meleraikan pergaduhan itu dengan bertindak menghalau mangsa keluar dari rumah mereka,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, mangsa kembali semula ke rumah itu pada 8.30 malam sebelum suspek meluru ke arah mangsa, di hadapan rumah mereka.

Suspek kemudiannya menetak mangsa sebanyak dua kali.

Adzli berkata, ekoran itu, mangsa putus pergelangan tangan kanan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek ditahan di lokasi kejadian dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

memetik laporan Harian metro, kedua-dua suspek dan mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Post a Comment

0 Comments