PENJAGA gol skuad hoki negara, S. Kumar mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa selepas 20 tahun menabur bakti kepada negara.
Memetik laporan Bernama, Kumar, 40, bagaimapun akan meneruskan khidmatnya bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dianggap sebagai penjaga gol terbaik negara serta antara terbaik dunia, Kumar sudah mencatatkan 321 kap sepanjang kariernya dalam sukan itu. Beliau mula bersama skuad kebangsaan sejak Sukan SEA Brunei 1999.
Kumar juga individu yang membantu pasukan Malaysia meraih dua pingat perak di Sukan Asia (Guangzhou 2010, Jakarta-Palembang 2018) serta pingat perak Piala Asia 2017 di Dhaka.
“Niat saya untuk bersara sejak dari tahun 2015 namun saya terus bersama pasukan kebangsaan memandangkan khidmat saya masih diperlukan sekiranya kita layak ke Sukan Olimpik.
“Namun selepas Malaysia gagal ke Tokyo 2020, saya fikir lebih baik saya beri peluang kepada penjaga gol muda untuk diasah bakat mereka bagi pembangunan jangka masa panjang.
“Jika saya teruskan juga dengan skuad kebangsaan, masa itu umur saya dah 44 tahun, ia bukan sesuatu yang mudah. Malaysia memerlukan penjaga gol muda,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil seperti dilapor Bernama.
Susulan pengumuman itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil tindakan pantas dengan melantik Kumar sebagai jurulatih penjaga gol pelatih bagi skuad remaja negara.
Mengulas lanjut mengenai tawaran yang diberikan MHC, Kumar berkata peluang yang diberikan itu adalah sesuatu yang sangat besar dan penting baginya.
Jelasnya, sebagai ahli sukan yang berpengalaman selama 20 tahun, beliau tidak mahu ‘kedekut’ ilmu sebaliknya mahu berkongsi ilmu berkenaan dengan generasi muda negara.
0 Comments