PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan isu ekonomi dan membangun semula negara wajar diberi tumpuan dalam mesyuarat Majilis Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.
Tegasnya, walaupun isu berkaitan peralihan kuasa dijangka akan dibincangkan, namun beliau yakin ia dapat diselesaikan dalam masa yang singkat,
"Semestinya kita lebih fokus pada isu semasa dan bukan pelan peralihan (kuasa), ya peralihan itu adalah sebahagian daripada perjanjian, dan itu dapat diselesaikan dalam masa setengah jam.
"Tumpuannya adalah pada ekonomi," kata Anwar ketika ditanya isu peralihan kuasa selepas menyampaikan ucapan pada simposium anjuran Help University di Kuala Lumpur semalam.
Anwar sebelum ini memberi gambaran bahawa beliau tidak begitu kisah sekiranya terpaksa menunggu sikit masa lagi, namun timbul gesaan dari beberapa pihak kebelakangan ini agar isu tersebut diputuskan segera.
Gesaan itu susulan beberapa "muslihat licik" termasuk dari dalam yang didakwa mahu menggagalkan pelan peralihan kuasa itu dakwaan yang mengatakan sekumpulan anggota parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Dr Mahathir kekal sehingga habis penggal.
Sementara itu tambah Anwar, beliau dan Dr Mahathir sendiri tidak seharusnya diberi tekanan berhubung isu peralihan kuasa.
"Selepas perbincangan dengan beliau (Dr Mahathir), ia (peralihan) akan berlaku selepas Apec...Saya tidak fikir sesiapa saja perlu diletakkan di bawah tekanan, saya atau Tun (Mahathir)," katanya.
0 Comments