Klip Audio : Najib dan Rosmah dijangka ke Bukit Aman


BEKAS  perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dijangka akan hadir ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Pasangan berprofil tinggi itu bakal memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan ke atas beberapa klip rakaman audio didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, memaklumkan perkara itu seperti dilapor portal Malaysiakini.

"Polis akan akan mengambil keterangan daripada Najib dan Rosmah pagi esok," katanya ringkas.

Pada 8 Jan lalu SPRM mendedahkan rakaman audio mengandungi perbualan beberapa individu.

Dalam rakaman mirip suara Najib dan Rosmah itu yang antara lain membayangkan berlaku kebocoran maklumat dari Jabatan Peguam Negara kepada Najib berkaitan siasatan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Selain bekas Presiden Umno itu, perbualan itu dipercayai turut membabitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM sendiri, Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Pihak polis sebelum ini difahamkan sudah merakam keterangan daripada 12 individu bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio yang didakwa menunjukkan berlaku konspirasi jenayah peringkat tinggi.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh; dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.

Post a Comment

0 Comments