AMK S'gor gesa muktamad tarikh peralihan kuasa


MENJELANG
Mesyuarat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) esok, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor hari ini menuntut agar isu berkenaan peralihan kuasa dibincangkan.

Pengarah Komunikasi AMK Negeri Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata hasil Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Selangor yang dipengerusikan Ketua AMK negeri, Mohd Najwan Halimi semalam, pihaknya sepakat mengambil beberapa ketetapan.

Ia antaranya supaya Majlis Presiden HARAPAN menetapkan tarikh khusus bagi peralihan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“AMK Selangor desak satu tarikh khusus ditetapkan bagi peralihan jawatan Perdana Menteri melibatkan Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Datuk Seri Anwar bersama Majlis Presiden HARAPAN pastinya berupaya memutuskan tarikh peralihan jawatan memandangkan wujud percubaan pihak tertentu dari dalam dan luar untuk menimbulkan suasana politik tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Media AMK S'gor

Terdahulu, banyak pihak melihat kepada perlunya tarikh khusus untuk peralihan kuasa itu dimuktamadkan.

Sebelum ini, Ketua Komunikasi Parti Keadilan rakyat (KEADILAN) Pahang,  Wan Fauzuldin Wan Samad  berkata, dengan situasi politik hari ini dimana rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan, Majlis Presiden perlu mengumumkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri seperti dipersetujui sebelum ini.


BACA: Peralihan kuasa- Majlis Presiden perlu muktamatkan


BACA: Ezam dakwa Azmin dalang gagalkan peralihan kuasa

"Pengumuman ini penting bagi mengelakkan kesenjangan (ketidakseimbangan) politik dan persepsi negatif terhadap kerajaan PH (Pakatan Harapan).

"Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberikan haknya seperti yang dijanjikan tanpa usaha daripada mana-mana pihak untuk melambat-lambatkan proses ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara dalam satu kenyataan yang lain, Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi sebelum ini pernah memberi pandangan bahawa Anwar Ibrahim merupakan individu paling layak menjadi penganti Dr Mahathir.

Dr Awang turut menegaskan bahawa proses peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) juga perlu  berjalan dengan lancar bagi menjamin situasi politik dalam negara terus stabil.

"Jika terdapat pertangguhan peralihan kuasa, sudah pasti komponen HARAPAN akan bergolak dan krisis politik akan berlaku," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments