SEORANG
pemandu lori dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur kerana membuat hantaran mengancam bunuh Perdana Menteri Datuk
Seri Anwar Ibrahim di aplikasi TikTok, tahun lepas.
Tertuduh,
Faizal Mohamad, 35, ketika pertuduhan dibacakan mengaku bersalah
terhadap perbuatan membuat dan memulakan penghantaran menggunakan
perkhidmatan komunikasi yang mengancam sifatnya dengan niat menyakitkan
orang lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis dan
memohon supaya mendapat hukuman lebih ringan di hadapan Hakim Mahkamah
Sesyen, N Priscilla Hemamalini.
Tertuduh yang merupakan pemilik
akaun TikTok @jaiadani89 muat naik video menawarkan RM5 juta kepada
sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah
parti politik.
Dia menulis di laman tiktok miliknya iaitu;
“hari ini aku nk transfer RM5 juta kat sape2 yg nak..tapi kena buat
kerja sikit la..tembak mati pmx dan menteri2 b****** Dan geng2 dap
l*******..”.
Faizal Mohamad didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen
233(3) akta sama.
Sesyen ini memperuntukkan hukuman denda
maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan
boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian
daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
0 Comments