Semua perwakilan digesa hadir Kongres KEADILAN


SEMUA
perwakilan sayang KEADILAN digesa supaya hadir ke Kongres Nasional yang akan diadakan di Melaka hujung minggu ini bagi membuktikan kesetiaan dan kesepaduan dalam parti.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) melalui satu kenyataan bersama ditandatangani lima exco-nya menyifatkan kehadiran perwakilan amat penting dalam merealisasikan agenda reformasi yang telah sama-sama dijulang semenjak 1998.

“Justeru sebagai pimpinan AMK, kami menyeru seluruh perwakilan dan pemerhati untuk sama-sama hadir untuk menyegarkan semula tekad serta idealisme perjuangan yang sama-sama kita semai dengan keringat dan air mata rakyat semenjak lebih 20 tahun yang lalu.

“Kongres Nasional adalah wadah rasmi yang menghimpunkan para aktivis parti. Kongres Nasional adalah saluran rasmi untuk kita sama-sama berinteraksi dengan pemimpin ini untuk menyuarakan dhamir (nurani) rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan media tersebut dikeluarkan secara bersama oleh lima exco AMK Pusat iaitu S. Sarawanan, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, Khairul Anuar Musa, Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin dan Dr. Ahmad Kusyairi Khalid.

Mereka juga menyifatkan kehadiran perwakilan ke kongres tersebut sebagai manifestasi kesetiaan dalam mendukung agenda reformasi dan keadilan untuk rakyat.

“Ayuh ke Kongres Nasional dan nyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Presiden dan bersama mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8,” tambah kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments