LEMBAGA Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dilaporakan mengambil tindakan undang-undang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen yang keluar daripada parti.
Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Datuk Ahmad Kassim berkata, setakat ini tidak ada maklumat atau info terbaharu yang boleh diberikan cuma pihak yang keluar parti akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Tunggu sahaja saman daripada mahkamah,“ katanya dipetik.
Sementara itu katanya, tindakan mereka yang keluar daripada parti bukan menjadi urusan parti lagi.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar dari PKR untuk menjadi ADUN Bebas dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tindakan itu membolehkan kerajaan Kedah yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hilang majoriti.
Kedah yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini hanya tinggal majoriti 17 kerusi berbanding Perikatan Nasional yang diterajui Pas (15), BN (2) dan Bebas (2) mempunyai jumlah keseluruhan 19 buah kerusi.
Pengerusi KEADILAN negeri Kedah, Datuk Johari Abdul sebelum ini turut menegaskan bahawa dua adun berkenaan akan disaman RM10 juta setiap seorang kerana “mengkhianati” parti dan pengundi.
Kedua-duanya kata Johari sebelum ini telah berikrar sebelum pilihan raya lalu untuk tidak keluar parti dan sedar tentang implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.
0 Comments