BPN: Mahfuz nak belanja Najib, derma untuk tabung guaman


PENTADBIRAN Muhyiddin Yasin digesa mengkaji semula sistem saringan dalam menentukan individu layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar setelah beliau menjadi salah seorang individu berkemampuan yang layak menerima bantuan tersebut.

"Saya difahamkan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menerima senarai siapa layak dan tak layak, berasaskan berapa cukai yang layak dibayar dan berapa tidak layak bayar. Dan kemudian dia akan lihat layak atau tidak untuk mendapat BPN.

"Jadi bagi saya, sistem ini perlu dilihat semula, kerana akan menyebabkan orang yang tidak layak akan dapat bantuan (dan sebaliknya)," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Terdahulu, bekas Presiden Umno, Najib Razak melalui laman Facebooknya menyorot bahawa pemimpin Amanah itu tersenarai sebagai layak menerima BPN.

"Minta belanja kepci (KFC) bila wang dibayar, ya?" kata Najib pada kiriman itu.

Sementara itu, Mahfuz mengakui bahawa beliau disenaraikan sebagai 'lulus' untuk menerima Bantuan, namun tidak menyemak apakah bantuan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun banknya kerana tidak menggunakan sistem semakan dalam talian.

Bagaimanapun tegas pemimpin Amanah itu, sekiranya bantuan itu telah dimasukkan ke akaunnya, ia akan didermakan untuk tabung guaman Najib.

"Saya dah janji dengan Najib di Facebook, masa sidang parlimen ni, saya nak belanja dia buka puasa.

"Yang lebih saya akan derma untuk tabung guamannya, sebab dia yang muat naik di Facebook mula-mula. Saya anggap dia peminat setia saya," selorohnya. 

Post a Comment

0 Comments