Kerajaan timbang bina tebatan banjir di negeri pembangkang



WALAUPUN Kelantan dan Terengganu berada dibawah pentadbiran pembangkang, namun Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sama sekali tidak akan meminggirkan rakyat di kedua negeri itu

Sikap itu dapat dilihat dari kesudian kerajaan untuk mempertimbang pembinaan tebatan banjir bagi kepentingan rakyat di negeri itu meskipun ia memerlukan peruntukan besar.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berdasarkan penilaian beberapa pihak, tebatan banjir di Sungai Golok memerlukan kos berjumlah RM700 juta manakala Besut RM400 juta.

"Kita nak ringankan bab tu (banjir) kalau boleh kita nak buat tebatan banjir. Kita akan tengok secara keseluruhan… kita tahu bahawa perbelanjaan yang diperlukan itu tinggi.

"Dianggarkan kalau di Sungai Golok tu RM700 juta dan kat sini (Besut) sahaja dah RM400 juta. Jadi ini bukan sesuatu yang senang dan mudah untuk ditangani. Tapi kerajaan akan cuba ke arah itu," katanya.

Tambah Dr Wan Azizah, sudah sampai masanya kerajaan mengambil inisiatif agar perkara sama tidak berulang dan kajian terperinci akan dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bentuk muka bumi serta persekitaran.

Beliau sebelumnya  ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Payong di Jerteh hari ini.

Sementara itu tambah Dr Wan Azizah, kerajaan akan berusaha memastikan mangsa yang dipindahkan ke PPS berada dalam keadaaan selesa.

Penekanan katanya akan dipastikan supaya kebajikan golongan wanita dijaga terutama bagi yang masih dalam pantang dan perlu menyusu bayi dengan menyediakan ruang tertentu.

Selain itu isu kebersihan turut akan dititik beratkan dengan menambah  tandas bergerak bagi kegunaan mangsa di PPS.

Post a Comment

0 Comments