PENGARAH dan penerbit veteran, Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser di kediamannya di Taman Melawati, Kuala lumpur sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Berita dukacita itu disampaikan oleh rakan niaganya, Taha Wahid seperti dilapor media hari ini.
“Yusof Kelana meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi tadi. Doktor sahkan perkara itu jam 10.45 pagi kemudiannya. Sekarang jenazah masih berada di rumah,” katanya.
Difahamkan, kanser kulit tahap empat dihidap Yusof sudah merebak ke bahagian otak dan sebelum ini bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Sebagai rekod, Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh, 66, merupakan pengarah filem Tragedi Oktober.
Selain Tragedi Oktober, Yusof juga mengarahkan Bidong: The Boat People, Pontianak Menjerit dan Bahaya Cinta serta baru selesai selesai menyiapkan penggambaran dokumentari Bisikan Dari Kota Pusaka sebanyak 13 episod untuk siaran Radio Televisyen Malaysia.
Allahyarham juga bertindak selaku penerbit filem biopik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu Mahathir: The Journey yang dijangka ditayangkan tahun depan.
Difahamkan, jenazah Yusof dijadualkan dikebumikan selepas solat Zohor hari di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate.
0 Comments