Kaji semula diskaun tol tindakan balas dendam - Lim Guan Eng


HASRAT Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan hasrat untuk mengkaji semula penurunan kadar tol lebuh raya diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Sebelum ini disifatkan sebagai “balas dendam politik”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melalui satu kenyataan berkata, langkah mengkaji semula keputusan penurunan sebanyak 18 peratus kadar tol di lebuhraya kendalian Plus Malaysia Bhd itu akhirnya hanya akan membebankan rakyat.

“Jelas PN sedang melakukan balas dendam politik dengan merombak sedikit demi sedikit dasar yang dilaksanakan HARAPAN, termasuk diskaun tol sebanyak 18 peratus.

”Dengan balas dendam ini, PN lupa bahawa mereka telah menghukum rakyat yang menggunakan Lebuh Raya Plus, yang akan menjimatkan sebanyak RM500 juta hanya pada tahun 2020 dari pengurangan tol tersebut," katanya dipetik.

Menurut Lim, keputusan untuk mengurangkan tol itu sebelum ini dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM600 juta hanya pada tahun 2020 kerana tidak perlu membayar pampasan kepada pengendali lebuh raya itu.

Bekas menteri kewangan itu berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang menyifatkan semakan diskaun tol itu perlu kerana memberi kesan terhadap lebuh raya lain.

Susulan itu Lim berkata rancangan kerajaan untuk mengkaji semula diskaun tol sebanyak 18 peratus harus dihentikan sekiranya mereka benar-benar mengambil kira kepentingan orang ramai.

Sebagai rekod, Diskaun tol sebanyak 18 peratus itu telah dilaksanakan oleh HARAPAN pada Februari lalu untuk memenuhi janji manifesto berkenaan penghapusan tol secara beransur-ansur.

Post a Comment

0 Comments