ARTIFAK berusia lebih 1,000 tahun dijumpai di kawasan aktiviti pengorekan pasir di Sungai Pahang, di Pekan, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop dalam satu laporan oleh Bernama berkata artifak yang ditemukan itu kebanyakannya dipercayai serpihan seramik celadon Dinasti Song, serpihan seramik porselin Dinasti Ming dan duit syiling Dinasti Tang, Dinasti Song serta Dinasti Ming.
Katanya, turut ditemui ialah duit syiling Kesultanan Pahang dan Kesultanan Melaka.
"Penemuan ini berlaku apabila beberapa serpihan artifak ditemui di dalam penyedut pasir sebelum penyelidikan bawah air yang dikawal selia JWN dijalankan selama tiga hari bagi memberikan perincian jelas ke atas hasil dapatan kajian ini.
Sebilangan besar pecahan seramik kelihatan mempunyai retakan baharu, manakala sebilangan lagi kelihatan telah lama patah," katanya dalam sidang media.
Mesran berkata JWN akan membuat kajian lanjut mengenai pentarikhan dan pemilik asal artifak itu supaya ia dapat memberi gambaran baharu mengenai aktiviti perkapalan serta perdagangan di kawasan berkenaan.
"Kita berharap dengan penemuan ini kita dapat merungkai sejarah dan salasilah kebudayaan di Pahang khususnya di Pekan," katanya.
Beliau juga berkata ketika ini JWN akan memberi fokus bagi mencari seberapa banyak artifak dengan harapan dapat menjumpai artifak yang lebih signifikan, contohnya seramik yang masih tidak pecah.
Sementara itu, Ketua Projek Penyelidikan Datuk Dr Dionysius S K Sharma yang turut hadir pada sidang media itu memberitahu sebahagian artifak terbabit ditemui selepas selaman sedalam 15 meter dilakukan di sungai berkenaan.
Pasukan penyelum juga menurutnya menemui struktur dipercayai kapal.
"Pasukan penyelam menemuinya berhampiran struktur yang saya percaya kapal diperbuat daripada kayu namun siasatan lanjut masih perlu dilakukan," katanya.