KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar kebergantungan negara terhadap tenaga pekerja asing dikurangkan.
Memetik laporan media tempatan, presidennya, Abdul Halim Mansor berkata, langkah itu perlu dilakukan selepas negara pulih dari wabak pendemik koronavirus (Covid-19).
“Di waktu pemulihan selepas pandemik Covid-19, kerajaan mesti menutup kebenaran mengimpot pekerja asing.
“Tindakan ini adalah untuk negara supaya tidak bergantung kepada tenaga kerja asing tetapi membentuk dan utamakan tenaga kerja tempatan dalam semua skop pekerjaan,” katanya.
Abdul Halim sebelumnya mengulas mengenai bagaimana negara boleh menangani masalah ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) seperti dilapor Malaysiakini.
Sebagai rekod, Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini menjangkakan seramai 2.4 juta orang di negara ini akan kehilangan kerja berikutan pendemik yang kini sedang melanda dunia.
Daripada jumlah tersebut dijangkakan 67 peratus adalah terdiri daripada pekerja tidak mahir dan kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Abdul Halim sementara itu mengingatkan agar pihak kerajaan dan majikan perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam menghadapi wabak koronavirus, dan pada masa sama menjana ekonomi negara yang terjejas.
“MTUC tidak mahu menggadaikan nyawa pekerja jika semata-mata kena bekerja kerana mengikut keperluan majikan waktu PKP berkuatkuasa.
“Jika PKP diteruskan majikan dan PKS tidak beroperasi. Sementara pekerja yang akan menghadapi bencana (terjejas), apabila majikan dan PKS mengatur strategi mengecilkan aktiviti dan mengurangkan kos.
“MTUC juga menggesa, kerajaan berbincang dengan majikan dan PKS bersama duta-duta pekerja asing yang “halal" atau “haram" (secara sah atau tidak sah) seramai melebihi 3 juta orang untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya dipetik laporan itu.
0 Comments