Tun M yang tak mahu tutup Lynas, dakwa bekas timbalan menteri


SEORANG bekas timbalan menteri mendakwa Dr Mahathir Mohamad tidak mahu menutup kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN).

FUziah Salleh (HARAPAN - Kuantan) yang merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat pendedahan itu ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Orang tanya saya kenapa waktu PH memerintah tak tutup Lynas. Saya nak beritahu sewaktu HARAPAN jadi kerajaan, Ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) memang tak mahu tutup Lynas.

"Dia tak ada di sini, jika dia ada, dia boleh jawab," katanya yang kecewa kerana kerajaan gagal menyelesaikan isu Lynas sejak syarikat itu menjejakkan kaki di Malaysia pada 2008.

Fuziah juga berkata, Menteri berkaitan ketika itu Yeo Bee Yin telah mencuba sedaya upaya bagi memastikan kilang tersebut ditutup dan dipindahkan ke Australia.
 
“Dia arah pindah fasiliti 'cracking and leaching' ke Australia," katanya.

Tambah Fuziah, Lynas katanya hanyalah sebuah syarikat Australia yang tidak membayar apa-apa cukai kepada kerajaan dan beliau tidak faham mengapa kerajaan mempertahankan Lynas.

Sementara itu, Fuziah turut menyelar kerajaan yang memberikan kelulusan kepada Lynas untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Kawasan Perindustrian Gebeng tanpa mematuhi proses sewajarnya.

Terutamanya apabila pihak berkuasa tempatan masih menjalankan kajian mengenai perubahan tebus guna tanah Kawasan Perindustrian Gebeng untuk menerima pembuangan sisa toksik dan radioaktif Lynas.

“Dalam jawapan bertulis parlimen, menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata jawatankuasa perancang negeri Pahang telah memberikan kelulusan untuk tapak PDF (untuk menyimpan) sisa penulenan air (WLP).

"Beliau berkata kebenaran merancang itu diberikan dengan pindaan kepada rancangan itu oleh Majlis Bandaraya Kuantan pada 12 Jan.

"Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Majlis Bandaraya Kuantan sedang menjalankan kajian untuk menukar guna tanah Estet Perindustrian Gebeng. Penyelidikan bermula 12 Dis 2021 sehingga esok (11 Mac)," katanya.

Lynas tak bayar cukai kepada kerajaan
"Kajian itu belum tamat dan masih diterbitkan untuk tatapan umum tetapi menteri berkata projek itu telah diluluskan pada Januari," katanya.

"Ini apa punya jawapan, menteri, ini tak patut dibayar gaji menteri, yang buat kerja macam ini.

"Hari ini, kita mempunyai satu juta tan metrik sisa radioaktif di Gebeng. Seolah-olah (kerajaan) tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya, jadi mereka 'okay' (dan membenarkan sisa toksik ini kekal di Gebeng)," tegas Ketua Wanita HARAPAN itu lagi.

Post a Comment

0 Comments