ANGGOTA kumpulan 4U2C, One II meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemergian One II atau nama sebenarnya Nirwan Siari dikongsi oleh AC Mizal di laman sosial peribadinya.
“Salam semua , baru dapat berita bahawa sahabat saya, ahli kumpulan saya 4U2C baru jer meninggal dunia, sedih teramat aku bro, dengan pemergian kau, teringat aku zaman kita dulu 4U2C.
“Allah lebih menyayangi kau semoga kau di tempatkan bersama orang yang beriman,” katanya di media sosial.
Difahamkan, One II menghidap penyakit batuk kering dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak dua hari lalu selepas mengadu sesak nafas.
“Dua tahun lalu arwah disahkan menghidap batuk kering dan ia kembali menyerang, baru-baru ini. Doktor sahkan jangkitan sudah merebak ke paru-paru, selain masalah jantung membengkak.
“Tahap kesihatannya semakin menurun hingga terpaksa ditidurkan. Sepanjang dua hari, arwah hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” kata adik Allahyarham, Mohd Norezman dipetik BH Online.
One II menyertai kumpulan rap popular itu pada penghujung 1990-an, selepas empat anggota asal 4U2C iaitu Adik, Yanz, Azam dan Joe mengundurkan diri.
One II sempat merakamkan album Kembalilah Fiona sebelum Allahyarham memilih haluan sendiri selepas dua tahun menganggotai kumpulan berkenaan.
0 Comments