3R: polis siasat Mahathir, pemilik Facebook 'Imam Mustaqim'

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan  sedang menjalankan siasatan ke atas bekas Pengerusi Parti Bersatu, Mahathir Mohamad berkaitan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan dijalankan berhubung kenyataan Mahathir yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja, yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lalu.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu jelas Mohd Shuhaily, kes masih pada peringkat siasatan, justeru orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah,"katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan USJT turut mengambil keterangan dua individu yang rapat dengan Mahathir iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Datuk Marzuki Yahya bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily turut memaklumkan PDRM turut menjalankan siasatan terhadap pemilik laman sosial Facebook, 'Imam Mustaqim' yang disyaki menghina Sultan Selangor.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan satu pemilik akaun Facebook tersebut membuat hantaran berbaur fitnah apabila menuduh Sultan Selangor tidak menjaga agama Islam.

Ia mendapat pelbagai reaksi dan kecaman oleh pengguna media sosial yang menyifatkan tindakannya itu sebagai biadab.