Najib didakwa atur penipuan SRC sejak mula


NAJIB
Razak telah mengatur penipuan SRC International Sdn Bhd sejak permulaan lagi, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Bercakap ketika penghujahan berkaitan kes penyelewengan dan pecah amanah dana SRC berjumlah RM42 juta, bekas Presiden Umno itu juga didakwa telah menikmati manfaat dari penipuan itu selama lebih daripada tiga tahun.

Menurut Thomas lagi, Najib,66, yang merupakan 'pengarah belakang tabir' yang memiliki kepentingan terhadap SRC mendapat manfaat kewangan dari tabung SRC, di mana beliau diberi amanah kawalan sepenuhnya ke atas harta benda SRC.

"Kepentingan yang dimiliki tertuduh disembunyikan di sebalik pelbagai tipu helah, di belakang nama orang yang tidak dapat dicari, dan watak-watak yang diragui," katanya dalam penghujahannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan semalam dan hari ini sebagai sesi penghujahan dari pihak pembela dan pendakwaan.

Sementara itu tambah Thomas, fakta-fakta tetap menunjukkan bahawa tertuduh dan proksinya mengawal di belakang tabir SRC.

“Mengapa kerajaan amat berminat dan melakukan segalanya bagi membantu SRC, sebuah syarikat yang baharu dibangunkan tanpa rekod lampau, baharu beroperasi 12 bulan, dan amat berminat untuk memberi kemudahan mendapatkan pinjaman RM2 bilion, dan diikuti dengan RM2 bilion yang kedua dalam tempoh masa lapan bulan antara keduanya, kepada SRC?

"Kesimpulan yang tidak dapat dinafikan lagi adalah ia harus menunjuk kepada kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.

Najib juga didakwa sebagai pembuat keputusan muktamad di SRC apabila diberi kuasa 'melantik' dan 'memecat'yang dilihat memberi kesan kepada perjalanan syarikat itu.

Malah pendakwaan mendakwa, tiada keputusan-keputusan penting yang boleh diputuskan SRC tanpa arahan daripada tertuduh.

Post a Comment

0 Comments